Ahad, 22 Februari 2009

Hmm??? Renungan Semata......

~KEMBALI~

Wahai Tuhanku,
Apakah aku antara orang yang lalai daripada pengajaranMU??
Yang sentiasa berlaku khianat terhadapMU??
Sesungguhnya aku mengetahui diantara dua jalan yang batil dan haq,
Namun aku seronok dalam kebatilan yang bertunggangkan nafsu,
Sedangkan yang haq tidak pula aku menurutinya,
Lantas aku berkata ‘‘Dimanakah imanku?? Munafiqlah aku bersama diriku’’ ,

Wahai Tuhanku,
Apakah aku antara orang yang tidak pernah aman daripada kemurkaanMU??
Yang kian hari membuatkanku kian jauh dariMU??
Sesungguhnya aku telah hanyut dalam arus deras lautan duniawi,
Tenggelam didalam keseronokannya,
Aku terlena dalam buaian nafsuku,
Lantas aku katakan ‘‘Hai...celakalah aku dengan kehidupan duniaku’’,

Wahai Tuhanku,
Apakah aku dalam kalangan orang yang tidak berbuat dosa??
Sedangkan aku sentiasa membelakangkanMU,
Sesungguhnya dalam waktu itu timbul rasa penyesalan dalam qalbuku,
Yang menjadikan siang atau malam tidak dapat lagi aku rasakan perbezaannya,
Kerana bagi kehidupanku kini sentiasa berada didalam kegelapan,
Lantas aku berkata ‘‘Ya Allah...semoga aku dikurniakan NUR HIDAYAHMU dalam hidupku’’ ,

Wahai Tuhanku,
Apakah aku masih layak mendapat keampunan dariMU??
Setelah segala nikmat kurniaanMU aku dustakan,
Sesungguhnya aku berada didalam kesesatan nyata,
Kini ku ingin kembali padaMU Ya Allah,
Kerana bagiku tiada lagi yang menenangkan jiwaku melainkan bersamaMU,
Lantas aku berkata ‘‘Ya Allah...kembalikanlah aku kepada fitrah yang suci’’ ,

Wahai Tuhanku,
Apakah aku akan menjadi antara para kekasihMU??
Tidak ada yang akan menjadi kekasihMU melainkan dengan redhaMU,
Sesungguhnya aku begitu mengharapkan keredhaanMU,
Agar hilang segala cemburuku pada mereka yang menjadi kekasihMU,
Kerana bagiku jika benar aku tidak mampu menjadi kekasihmu ternyata aku adalah orang yang lalai terhadapMU,
Lantas aku berkata “ Hai...tidakkah engkau sedar bahawa engkau adalah orang berdosa yang jauh dari Allah” ,

Wahai Tuhanku,
Adakah aku mampu untuk merubah diriku ini??
Sedangkan keadaan persekitaranku penuh dosa dan maksiat,
Sesungguhnya aku bermohon padaMU agar perkuatkan imanku,
Agar dapatku menentang segala nafsu yang mendatangiku.,
Kerana nafsu itu datangnya dosa yang menjadi hijab antara KAU dan aku,
Lantas aku berkata “Ya Allah...alangkah malangnya aku jika aku tewas dalam perjuangan ini’’ ,

Wahai Tuhanku,
Kini ku sedar segala-galanya dalam perjalanan hidup ini,
Bimbinglah aku didalam perjalananku menempuh taubatku,
Sesungguhnya aku kembali kepadamu dengan sebenar-benar kembali,
Agar aku memperoleh keampunan,redha dan cinta dariMU,
Kerana itu lebih menyenangkan hatiku,
Lantas aku bersaksi .... “Tiada Tuhan selain Allah” ,
“Yang menjadikan cintaku dan taubatku hanyalah untukMU...........”