Rabu, 18 Februari 2009

Taubat...???




Assalamualaikum w.b.t...


Segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam, atas kurniaan rahmat serta ilmu dari-NYA mampu untuk ana buat blog ini untuk tatapan umum bagi mereka yang mencari keampunan, keredhaan serta rahmat dari Allah SWT. Serta selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dan keluarganya serta sahabat-sahabatnya...


Mamandangkan ini merupakan blog pertama ana. Segala kekurangan harap dapat dimaafkan.
Apa yang ana harapkan semoga apa yang ana cuba ketengahkan dan apa yang ana ingin sampaikan ini akan menjadi manfaat pada sesiapa yang mengunjungi blog ini.


Hmm...Apa yang ingin ana kongsikan pada buat kali pertamanya ini adalah mengenai ‘TAUBAT.
Sebab pada ana, apa yang ana rasakan keimanan kita kian terancam dari hari ke hari. Apa yang dimaksudkan dengan terancam itu adalah kehidupan seharian kita yang sentiasa berhadapan dengan maksiat dan perkara-perkara yang mendatangkan dosa. Perkara yang mendatangkan dosa dan maksiat itu pula tidak semestinya hanya melibatkan perbuatan sahaja, malah turut melibatkan percakapan dan juga hati kita.


Sebab itulah perlunya taubat. Kerana taubat adalah suatu perkara yang wajib bagi semua manusia. Kewajipan ini meliputi semua manusia, semua keadaan dan semua waktu (setiap hari). Walaupun dosa sebesar zarah sekalipun, dah pasti akan dihitung pada hari yang Allah SWT janjikan. Apatah lagi dosa yang kecil yang berterusan. Kalau dikumpul-kumpul dah tentu dosa itu akan jadi besar bukan???
Persoalannya layak ke kita bertaubat?????
Jawapannya...memang selayak-layaknya pun untuk kita bertaubat kepada Allah SWT...
Sebab apa????


Firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat, ayat 11:
Maksudnya: Dan siapa yang tidak bertaubat, merekalah orang yang zalim ”.


Juga dalam Surah Yusuf, ayat 23:
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan beruntung ”.


Firman Allah SWT lagi dalam surah Ali-‘Imran, ayat 57:
Maksudnya:Dan Allah tidak menyukai orang-orang zalim ”.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud:

orang mukmin tidak terlepas daripada melakukan sesuatu dosa dari satu waktu ke satu waktu ".

(Riwayat Al-Baihaqi)



Jadi ternyatalah kita bukan dari golongan orang yang sentiasa aman dari dosa. Hakikatnya taubat adalah perlu dalam hidup setiap insan yang bergelar hamba Allah SWT iaitu manusia.

Bagaimana pula sekiranya kita hendak menuju kepada Allah SWT sedangkan Allah SWT tidak menyukai orang yang yang zalim yang tidak mahu bertaubat???

Taubat itu adalah langkah yang terawal atau sebagai langkah permulaan bagi mereka yang ingin menuju kepada Allah SWT.


Sebagai contoh cuba kalau kita perhatikan antara orang-orang yang dah berjaya dulu. Seperti para sahabat,para ‘Arifin, para Solihin, ‘alim ulama’ dan juga para Waliullah, mereka begitu rapat dengan Allah SWT sehingga mereka merasakan nikmatnya itu melebihi dari segala sesuatu yang ada di sekeliling mereka. Macam mana mereka yang berjaya ini sampai ke tahap tu???


Adalah mustahil bagi mereka yang mencapai tahap ‘makrifatullah’ tanpa melalui proses taubat. Begitulah mustahilnya juga pada mereka yang berkehendak untuk menuju dan mengenal Allah SWT tanpa melalui atau mendahului proses taubat terlebih dahulu. Hal ini bersesuaianlah dengan firman Allah SWT.


Firman Allah didalam Surah Al-Nur, ayat 31:
Maksudnya:Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya ”.


Juga didalam Surah Al-Baqarah, ayat 222. Firman Allah SWT:
Maksudnya: sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri “.

Kerana sesungguhnya dosa adalah hijab atau penghalang antara manusia dan Allah SWT. Semakin banyak dosanya semakin jauh dirinya dengan Allah dan semakin teballah hijab di antaranya. Dan senjata bagi meleburkan penghalang itu adalah taubat. Kerana taubat adalah penebus segala dosa. Orang yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuha) adalah seperti bayi yang baru dilahirkan atau umpama orang yang tidak mempunyai dosa. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:


Maksudnya:Orang yang bertaubat itu ialah kekasih Allah, orang yang bertaubat daripada dosa ibarat orang yang tidak mempunyai dosa

(Riwayat Ibnu Majah)


Bagi ahli sufi taubat adalah proses paling utama yang perlu dilalui daripada jalan-jalan bagi menyempurnakan atau mencapai prinsip dan matlamat kesufian.
Para ‘Arifin bersepakat mengatakan bahawa taubat adalah permulaan ‘maqam’ dan asas di dalam perjalanan kesufian.


PENGERTIAN TAUBAT:


Taubat dari segi bahasa bermaksud kembali.
Ianya adalah perbuatan yang ditinggalkan atas dasar penyesalan.
Imam Al Ghazali menyatakan dalam kitabnya Ihya ‘Ulumiddin, tiga aspek yang mencakupi hakikat taubat yakni:


- Pengetahuan
- Hal
- Perbuatan




SYARAT-SYARAT TAUBAT:


i. Menyesali segala dosa yang telah telah dilakukan
ii. Meninggalkan terus segala dosa-dosa yang lain
iii. Berazam bersungguh-sungguh tidak akan melakukan dosa-dosa yang telah lalu

MUQADDIMAH TAUBAT:


i. Ingat kemuncak buruknya dosa
ii. Ingat kemuncak pembalasan Allah
iii. Ingat kelemahan dan kekerdilan diri


Mengikut ahli sufi, bagi mereka yang bertaubat, dzauq yang mereka kecapi adalah berbeza-beza.
Abu Ali Al-Daqqaq berkata,
Taubat terbahagi kepada 3 jenis. Pertama ‘Taubat’. Kedua ‘Inabah’. Ketiga ‘Aubah’."


Imam Al-Qusyairi pula menafsirkan didalam kitabnya ‘Risalah Al-Qusyairiyyah’ katanya, "seseorang yang bertaubat kerana takut kepada balasan Allah dinamakan taubat. Orang yang bertaubat kerana mengharapkan pahala daripada Allah dinamakan Inabah. Bertaubat kerana menyahut perintah Allah bukan kerana mengharap pahala atau takut kepada seksa Allah, dinamakan Aubah ”.


Ada pun Ibnu ‘Atoillah Al-Sakandari berkata, “ Taubat itu terbahagi kepada dua, pertama Taubat Al-Inabah, iaitu seseorang hamba yang bertaubat kerana takut kepada balasan azab dari Allah SWT. Kedua Taubat AL-Istihya iyyah iaitu seseorang hamba itu bertaubat kerana malu kepada kemuliaan Allah SWT ”.


Oleh itu,ana tekankan sekali lagi bahawa taubat ini meliputi semua manusia. Mustahil dalam seumur hidup mereka tidak pernah berbuat dosa. Apatah lagi diwaktu ni, zaman yang penuh dengan fitnah dan kemaksiatan. Sedangkan Nabi Muhammad SAW yang maksum itu pun sentiasa beristighfar kepada Allah SWT setiap hari, apatah lagi diri kita sebagai manusia biasa yang sentiasa leka,lalai dan asyik dengan keduniaan.
Sabda Rasulullah SAW :

Maksudnya : "Sesungguhnya aku berasa lemah daripada zikir pada hatiku, dan sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah 70 kali setiap hari" .

(Riwayat Muslim, Abu Daud, Al-Baihaqi dan Al-Tabrani)



Adakah kita pasti kita dalam kalangan orang-orang yang tidak tidak pernah berbuat dosa dan tidak ingin bertaubat???
Kadang-kadang sering kita terdengar dengan kata-kata manusia yang tidak beradab dengan Allah. Sebagai contoh....


Alah...hari ni kita buat esok kita taubat la...”


Itu bukan taubat, itu ‘tau buat’. Padahal mereka tetap juga tidak bertaubat. Hanyalah semata-mata ungkapan.Hal ini samalah seperti mempersendakan Allah. Mereka bermain-main kata dengan Allah.


Firman Allah SWT didalam Surah An-nisa’ ayat 18:
Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salahseorang dari mereka hampir mati, berkatalah dia: ‘sesungguhnya aku bertaubat sekarang ”.


Adapun ada yang beristighfar sedangkan dia tetap terus melakukan dosa-dosanya. Dalam hadis ada menyatakan yang bermaksud:
orang yang beristighfar daripada dosa sedangkan dia terus mengerjakan dosa itu, ibarat seperti orang yang mempermainkan ayat-ayat Allah”.

(Riwayat Ibn Abi Al-Dunya dari jalan Al-Baihaqi)




KATEGORI MANUSIA DALAM BERKEKALAN TAUBATNYA:


Golongan Pertama:

Orang yang melakukan maksiat itu bertaubat daripada dosanya dan sentiasa beristiqamah dengan taubatnya sehingga ke akhir hayat. Dia berusaha memperoleh semula apa yang di cuaikannya, dan tidak melamuni dirinya untuk kembali melakukan dosa-dosa, melainkan kegelinciran lamunan yang biasanya manusia selain nabi tidak terlepas daripadanya. Inilah yang dimaksudkan dengan istiqamah di atas taubat. Orang sebegini adalah orang yang mendahului amal-amal kebaikan (as-sabiqun lilkhairat), dan berusaha menukar amal kejahatan kepada amal kebaikan. Taubat ini dinamakan taubtat nasuha. Jiwa golongan ini adalah tenang dan tenteram, yang kembali kepada Tuhannya dalam keadaan dia meredhai dan diredhai. Jiwa dalam golongan ini dinamakan nafsu mutmainnah (jiwa yang sentiasa menyuruh kearah kebaikan).


Golongan Kedua:

Orang yang bertaubat dan beristiqamah melalui amal-amal ketaatan yang besar , serta meninggalkan semua perkara-perkara keji yang besar. Namun , dia tidak terlepas dari beberapa dosa yang mendatang, tetapi bkn dalm kesengajaan. Akan tetapi dia diuji dengan dosa-dosa itu dalam perjalanannya , dia tidak pula memahatkan azam untuk melakukan dosa-dosa tersebut. Namun setiap kali terbabas melakukan dosa itu maka dia pun mencela dirinya sendiri serta berasa menyesal. Kemudian dia memperbaharui tekadnya untuk berjaga-jaga daripada terjebak dalam sebab-sebab yang membawa dosa tersebut. Jiwa dalam golongan ini pula dinamakan nafsu lawwamah (jiwa yang mencela).


Golongan Ketiga:

Orang yang bertaubat kemudian beristiqamah dengan taubatnya dalam tempoh tertentu. Kemudian dia ditewaskan oleh nafsu dengan melakukan sesetengah dosa, dimana dia melakukan dosa itu dengan sengaja dan menurut nafsu. Ini disebabkan dia tidak berupaya membendung keinginan nafsunya. Walaupun begitu dia tetap terus bertekun melakukan amal ketaatan, serta meninggalkan himpunan dosa-dosa yang dia mempunyai keinginan dan berupaya melakukannya. Akan tetapi dia tewas dalam satu dua dosa oleh nafsunya, pada masa yang sama dia amat suka jika Allah memberikan kemampuan kepadanya untuk meninggalkan dosa tersebut. Jiwa sebegini dinamakan pula nafsu musawwilah (jiwa yang memujuk).


Golongan Keempat:

Orang yang bertaubat dan beristiqamah dalam satu tempoh waktu. Kemudian dia kembali melakukan suatu dosa tanpa berbicara dalam hatinya untuk bertaubat, serta tidak pula berasa dukacita atas perbuatan dosanya. Malah terus bergelumang dengan dosanya kerana mengikut nafsu syahwatnya. Maka golongan ini termasuk dalam golongan yang berterusan membuat dosa. Jiwa orang sebegini dinamakan nafsu ammarah bissu’ (jiwa yang sentiasa menyuruh kepada kejahatan)


...Jadi dalam golongan mana kita ni??? Semoga kita dikurniakan hidayah dan kekuatan dariNYA untuk mencapai tahap taubat yang sebenar-benarnya...


ORANG YANG BERTAUBAT AKAN TETAPI MELAKUKAN DOSA YANG TIDAK DISENGAJAKAN ATAU SECARA KEBETULAN...
APA YANG PERLU DILAKUKAN OLEH GOLONGAN SEPERTI INI???


Ketahuilah...orang seperti ini keadaannya wajib menyesal,bertaubat dan berusaha untuk menebus dosa itu dengan melakukan perbuatan kebaikan yang selari dengannya.
Amalan kebaikan yang dapat menghapuskasn dosa merangkumi amalan hati,lidah dan anggota. Oleh itu bagi setiap tempat berkaunya kejahatan hendaklah disusuli dengan kebaikan ditempat tersebut.


Kejahatan yang dilakukan oleh hati hendaklah merintih-rintih kepada Allah SWT demi meminta serta memohon keampunan dari-NYA. Menyembunyikan didalam hatinya kebaikan-kebaikan untuk orang islam, dan memahatkan keazaman untuk melakukan amal-amal ketaatan.
Kejahatan oleh lidah ditebus dengan cara mengakui kezaliman yang dilakukan serta memperbanyakkan beristighfar kepada Allah SWT.


Kejahatan yang dilakukan oleh anggota pula ditebus dengan melakukanamalan-amalan ketaatan, bersedekah, dan pelbagaibentuk ibadat.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:


susulilah kejahatan itu dengan kebaikan yang memadamnya “.

(Riwayat Al-Tirmizi daripada hadith Abu Dzar)


TANDA-TANDA YANG MENUNJUKKAN BAHAWA SESEORANG ITU BENAR-BENAR BERTAUBAT:


i. Benar-benar berniat untuk meninggalkan perbuatan dosa dan kembali kepada ketaatan.
ii. Setelah bertaubat keadaan menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
iii. Tidak pernah merasa aman dari seksa Allah SWT.
iv. Benar-benar menyesal dan takut akan seksa baik di dunia mahupun di akhirat.
v. Sentiasa ingat bahawa dirinya pasti akan kembali menghadap Allah SWT.
vi. Cinta kepada Allah dan rasulNYA serta membuat apa saja jenis kebaikan sebagai bukti dari cintanya itu.

KESAN TAUBAT:


Pertama: Ia mendapat menutup jalan-jalan kejahatan, sehingga akhirnya orang yang bertaubat itu menjadi seperti orang yang tidak mempunyai dosa.


Kedua: Mencapai tingkat-tingkat kebaikan, sehingga akhirnya orang yang bertaubat itu menjadi orang yang dikasih oleh Allah SWT.


Wlaubagaimanapun bagi penghapusan dosa juga ada tingkatannya. Ini bermaksud ada yang menghapuskan secara keseluruhan dan ada yang sekadar meringankan dosa tersebut. Hal ini bergantung pada tingkatan taubat mereka(kesungguhan mereka).


Beristighfar dengan hati dan melakukan amal-amal kebaikan bagi menebus dosa tersebut walaupun tidak meninggalkan dosa tersebut ia tetap merupakan tingkat-tingkat permulaan bagi bertaubat. Ianya tetap mempunyai faedahnya.


Oleh itu, janganlah ada yang berpendapat atau menyangka sama sahaja dia bertaubat atau tidak.


Demikianlah mengenai TAUBAT yang ana dapat sampaikan secara ringkas pada sahabat-sahabat dan sesiapa yang mengunjungi blog ini.


Semoga dapat dijadikan rujukan serta pengajaran pada kita semua sebagai hamba yang sering melakukan perkara yang mendapat kemurkaan dari Allah SWT.


Ana berpesan kepada diri ana sendiri dan sahabat-sahabat yang lain, marilah sama-sama kita kembali kepada Allah dengan sebenar-benarnya kembali. Semoga kita akan dapat meraih kasih sayang, redha serta keampunan dari Allah SWT. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun (Al-Ghaffur ) lagi Maha Penerima Taubat ( At-Tawwabu).


Firman Allah SWT dalam Surah Asy-Syura ayat 25:
Maksudnya:Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat daripada hamba-hambaNYA (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan) “.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Andaikata kamu melakukan kesalahan-kesalahan sehingga mencecah langit (banyaknya) kemudian kamu menyesal, nescaya Allah akan menerima taubat kamu


(Riwayat Muslim)



Sekian, salam mujahadah dari ana. Salah dan silap harap mendapat perhatian serta teguran dari pengunjung semua.

Wassalam....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan